Tuesday 17 June 2014

Bukan Yang Sempurna - 1


Usai menunaikan solat subuh, laju saja tangan mencapai hanger yang digantung pada tombol pintu semalam. Berlalu ke bilik air, dia menukar pakaian. Seruan emak dari luar bilik air kedengaran. “Kakak.... dah siap?”

“Sekejap. Baru pakai baju.” Balas Mariam Jamilah sambil tangan menguak pintu bilik air dari dalam.

“Barang semua dah siap packing? Tak ada yang tertinggal?”

Laju kepala menggeleng ke kiri dan ke kanan. “Borang yang kena bawa masa sesi pendaftaran?”

“Ada. Dalam bagpack. Sekali dengan fail.”

“Danial... Iskandar... tolong Mariam angkat beg!” seru emak. Mariam masih lagi memerhatikan penampilannya di muka cermin. Duduk baju kurung dikemaskan. Rambut yang masih lagi basah dikeringkan.

Alamatnya, terpaksalah lepaskan rambut. Kalau dah basah begini, mana boleh nak ikat. Mariam mengeluh sendiri. Tapi salah dia juga, dah tahu nak gerak awal pagi begini, yang basahkan rambut kenapa. Agaknya dah jadi habit. Setiap kali rambut mesti dibasahkan. Dan satu lagi habit Mariam, dia paling tak suka gunakan hair dryer untuk keringkan rambutnya. Dia lagi suka kalau rambutnya kering semulajadi begitu saja.

“Dah, jom turun. Ayah nak ajak sarapan kat luar. Nanti dari market, kita terus ke UUM.” Ujar emak.

“Eh? Bukan sarapan kat rumah la?”

Emak menggeleng. “Taklah. Abang dengan adik semalam pun ajak sarapan kat luar.”

Mendengarkan itu, Mariam mengangguk. Turun ke bawah, Danial baru keluar dari dapur siap dengan air di tangan. Untuk bekalan kalau penat menunggu dia mendaftar nanti katanya. Mariam mengoyak senyum.

“Abang mana?”

“Kat luar. Tengah angkat beg kakak agaknya.” Tutur Danial.

“Danny tak tolong?”

Danial tarik senyum. “Abang Alex kan kuat.”

Mendengarkan itu, Mariam menarik senyum. Danial ni la... selalu tau dia kenakan abang. Alasan dia bagi kat abang, dia tak kuat sebab dia kecil! Kecil la sangat! Dah tingkatan dua pun, mengaku kecil lagi! Mentang-mentanglah dia anak bongsu kan?

“Iskandar....!! Dah siap..?.” seru emak.

Danial memandang wajah emak. “Apa pula Iskandar emak. Alex... Alex la..”

“Dah kenapa nama abang jadi Alex?”

Danial tertawa. “Kawan-kawan abang dari sekolah kan ke panggil abang Alex?”

Mariam tertawa. Iyalah, abang dari sekolah dulu dipanggil oleh kawan-kawannya. Abang dulu kan belajar di Sekolah Menengah Perlis. Sekolah yang majoriti pelajarnya adalah pelajar Cina dan rakan-rakannya masing-masing menggunakan nama Inggeris walau mereka itu sebenarnya beragama budha dan berbangsa cina. Sampaikan nama abang yang asalnya Iskandar digelar Alex, dia yang namanya Mariam dipanggil Marry, Danial pula jadi Danny.

Cuma emak sangat tak gemar bila anak-anaknya ditukar nama begitu. Kata emak, nama anak-anaknya memang dah diambil dari nama yang elok maknanya. Nama abang sempena nama wali Allah yang namanya termaktub dalam al-Quran. Nama Danial dari nama nabi dan namanya sendiri dari nama ibu nabi Isa a.s yang solehah.

Dan emak selalu menyeru nama anak-anak dengan nama yang penuh. Kata emak, panggilan itu satu doa. Dan nama yang baik itu juga satu doa. Pernah satu hari dia bergurau dengan emak.

“Emak, Jamilah tu maksudnya cantik – Yang Cantik. Kan emak?”

“Iya.”

“Jadi Mariam ni cantik kan emak? Anak emak yang cantik.”

Mendengarkan gurauannya emak tersenyum. Perlahan emak mengangguk. “Ya, anak-anak emak semuanya cantik-cantik. Jadi emak harap, anak-anak emak punya budi pekerti yang cantik-cantik juga.”

Dan Maryam tersenyum.

Ya, dia satu-satunya puteri emak. Yang tak pernah berpisah jauh-jauh dari emak. Dia selalu dekat dengan emak. Dan agaknya, kerana itu jugalah bila dapat matriks dia mati-mati tak nak pergi. Jenuh emak dan ayah pujuk. Tapi dia mahu juga terus belajar di Perlis.

“Mariam tak nak pergi. Bukannya matriks je tiket masuk universiti kan ayah. STPM pun boleh jadi tiket untuk buat ijazah.”

“Dah tu, Mariam nak ke mana? Sekolah Menengah Perlis?”

Laju Mariam menggeleng. “Taknaklah! Tu sekolah abang. Dan Mariam tak nak pening-pening kepala belajar Fizik lagi! Fizik STPM bukannya mudah! Tengoklah abang dulu, dia belajar macam mana.”

Emak pandang ayah. Ayah gelengkan kepala.

“Betul ni tak nak pergi?”

Mariam angguk kepala laju. “Tak nak. Mariam nak duduk sini je.”

“Dah tu?”

“Mariam nak belajar kat Derma juga.”

“Dah tu, bukan ke Mariam cakap nama Mariam dihantar ke Sekolah Menengah Perlis?” soal emak.

Mariam angguk.

“Dah tu?”

“Nanti Mariam ke Jabatan Pelajaran, minta tukarkan balik ke Sekolah Menengah Derma.” Tutur Mariam. Ayah diam. Emak diam. Abang turut diam.

“Boleh ya ayah?” pinta Mariam.

“Boleh ya emak...” tutur Mariam sambil tangannya mengoyang-goyangkan tangan emak. Emak pandang ayah. Ayah mengeluh.

“Yang nak belajar tu Mariam. Jadi ikut suka Mariam. Ayah tak suruh. Ayah tak halang.” Tutur ayah lambat-lambat.

“Tapi pesan ayah, bila Mariam dah pilih sesuatu tu, buat sungguh-sungguh. Jangan nanti Mariam tak dapat sambung buat degree pula. STPM ni tough.” Tutur ayah.

Mendengarkan itu Mariam melompat riang. Ya, ayah adalah seorang bapa yang sangat memahami. Emak juga. Walau dia banyak merengek, tapi kalau dia salah, memang tiada maaf untuk dia. Denda tetap denda.

Sama juga kali ini, bila dia isi borang, pilihan utamanya adalah UUM. Kursus yang dia pilih, Pengurusan Hubungan Antarabangsa. Abang pula, sebab dah janji; sanggup balik dari Johor semata-mata untuk hantar Mariam mendaftar.

Terkejut emak bila tengok abang terpacak depan rumah pagi semalam. Tanya emak, “Bukan abang ada projek ke kat kampus?”

Abang tersengih. “Abang dah cakap dengan pensyarah dah, nak cuti untuk seminggu. Lagi pun, sepanjang cuti semester lepaskan abang tolong pensyarah abang untuk projek aircraft tu? Jadi abang nak balik kampung seminggu untuk jumpa emak dengan ayah sambil hantar Mariam daftar.”

Emak menggeleng mendengar jawapan abang dan dia sekadar tersengih. Mujur emak tak marah dia yang mengada-ngada pujuk abang minta balik. Kalau tidak, naya je.

“Hah! Berangan lagi?” sergah abang siap dengan petikan jari di depan mata. Mariam mengoyak senyum.

“Heh... siap dah eh?”

“Dah. Takkan dengan Mariam sekali abang nak angkat kot?”

“Boleh?” soal Mariam siap dengan mata yang bersinar-sinar riang. Abang menggeleng. “Mariam ingat, Mariam tu ringan macam baby eh? Mariam tu dah boleh jadi isteri orang tau!”

“Eleh! Abang tu dah macam bapak budak!” marah Mariam. Geram!

Dia paling pantang kalau diusik abangnya begitu! Bencilah! Entah apa je abang ni. Ingat dia suka sangatlah disakat begitu!

“Dah. Jom. Kang lambat. Mak jang cakap dia tunggu kita kat market.”

“Eh? Makjang dah keluar eh?”

Ayah mengangguk. “Dah. Katanya nanti, dia terus gerak balik ke Kulim.” Tutur ayah. Mariam mengangguk.

No comments:

Post a Comment